Isnin, 14 Mei 2012

Sejarah Ringkas Air Molek Kuala Sungai Baru Melaka

Terletak lebih kurang 11 km dari sempadan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, yang mana dipisahkan oleh sebatang sungai, kampung kecil ini sering mendatang kekeliruan kepada pengunjung yang datang buat kali pertama. Bukan sekali tetapi acap kali mereka yang mencari Air Molek Melaka akan tersesat ke Air Molek Kuala Sungai Baru dan begitu juga sebaliknya.

Air Molek Kuala Sungai Baru adalah sebuah kampung yang berada dalam daerah Alor Gajah. Kuala Sungai Baru adalah pekan yang terdekat. Berjarak lebih kurang 3 kilometer. kampung ini menjadi laluan utama jika pengguna jalan raya yang memasuki Melaka dari arah Rembau untuk ke Bandar Masjid Tanah, Bandar Melaka ataupun mahu ke Port Dicksons.

Petikan ini dipetik dari muka buku PAKAM- tulisan Datyuk Nordin Ahmad


RINGKASAN SEJARAH KAMPONG AYER MOLEK
 
SEJARAH AWAL KAMPONG
Sejarah lisan kampung ini dikatakan bermula dengan kehadiran dua beradik yang bernama Kamat dan Rahmat. Kedua-duanya dikatakan datang dari Air Molek, Melaka dan membuka petempatan baru dan menamakan petempatan yang dibuka dengan mengambil nama Air Molek sempena nama asal kampung mereka.

Penduduk Air Molek adalah terdiri dari pendatang yang datang dari kawasa persekitaran
Ayer Molek adalah terdiri dan seperti Lubuk Redan atau dikenali dengan panggilan Baruh dan juga Kampung Bukit Beruang atau kini dikenali dengan nama Bukit Beruang. Selain dari itu, terdapat juga penduduk yang datang dari kampung asal mereka iaitu Air Molek Melaka. Boleh dikatakan semua penduduk asal kampung ini mempunyai ikatan persaudaraan sama ada dari susur galur darah ataupun melalui ikatan perkahwinan.

Pada peringkat awalnya, kampung ini dikelilingi dengan hutan tebal dan juga sawah padi yang agak luas. Jika anda masih ingat dari "kawasan hujung tanjung" sawah padi menganjur hingga ke tebing sungai. Namun semuanya ditelan perubahan apabila sistem pengairan yang dilakukan gagal mengairi sawah, kelapa sawit pula dijadikan sebagai tanaman. Juga jika anda masih ingat terdapat sebatang pokok kelapa di tengah sawah yang luas dan juga sebatang pokok yang di atasnya dipenuhi dengan sarang Burung Tempua.

Pada tahun-tahun 70an dan awal 80an, kerbau masih digunakan sebegai tenaga untuk menarik bajak  di kawasan sawah, masih boleh mendengar bunyi padi yang dibanting pada "tong banting" dan malamnya pula anda boleh mendengar tingkah antan sewaktu kaum perempuan menumbuk emping.
Keadaan kampung Air Molek masih belum terusik dengan pembangunan kerana bekalan air dan elektrik hanya tiba pada tahun-tahun 81 atau 82. Sebelumnya, penduduk kampung menggunakan perigi-perigi yang digali di sepanjang sempadan sawah dan kawasan kampung. saya masih ingat lagi beberapa perigi yang terkenal seperti perigi RIDA, perigi Hj Md Jai, Perigi Haji Khamis dan sebagainya.

Selain itu, kampung Air Molek terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan besarnya iaitu Solok Hulu dan Hilir serta seberang yang dihubungi oleh sebatang jambatan panjang yang dikenali dengan panggilan "panggung". Di awal panggung ini juga terletaknya surau Hj Khamis dan sebuah perigi. Adalah menjadi kebiasan jika melihat anak-anak kampung atau golongan dewasa mengail ikan kepuyu, haruan mahupun sembilan di kawasan panggung atau lebih jauh lagi mengail di sungai.Sejarah Air Molek sama seperti sejarah Negeri Melaka. Kampung ini juga merasai bahang kepanasan penjajahan Inggeris, Jepun dan keganasan Bintang Tiga.

PERKEMBANGAN DAN KEMAJUAN KAMPUNG AIR MOLEK

Kesedaran terhadap pendidikan telah mewujudkan Sekolah Kebangsaan Air Jernih pada awal tahun 50an. Sejarah penubuhan SK Air Jernih akan dibincangkan dalam tajuk berikutnya. SK Air Jernih telah melahirkan ramai cerdik pandai dalam bidang pendidikan, ketenteraan malah usahawan-usahawan berjaya. Bangunan asal SK Air Jernih hanyalah sebuah bangunan dua tingkat yang bertiang batu dan berdindingkan kayu serta sebuah bangunan batu yang dibina kemudiannya. Kini kedua-duanya telah digantikan dengan bangunan tiga tingkat yang lebih selesa dan kondusif untuk pembelajaran.

 Atas inisintif JKKK semasa itu Tuan Haji Awang Arshad keperluan asas telah dapat di adakan . Pada tahun 70an Jalan Raya di turap ,Bekalan Letrik dan Air di bekalkan Masjid dan di surau di naik taraf kehidupan bertambah makmur dan pendidikan penduduk bertambah Cermerlang. Usaha telah di teruskan oleh JKKK baru Cikgu Ibrahim Haji Said.

 Ramai anak-anak kampong merantau keluar dari Kampong kebandar untuk meningkatkan karier masing-masing tempat Pilihan mereka Singapura,Selangor dan Kuala Lumpur

KAMPONG AYER MOLEK KINI

Kampong Ayer di terajui oleh Tuan Hj Hamzah Bin Mad Zin sebagai JKKK dan En Surin Bin Nasir terus mengorak langkah membuat pembaharuan dan penambaikkan bagi memajukan Kampong.
Sehingga kini Air Molek mempunyai 450 buah rumah dan penduduk di anggarkan 1,000 orang dengan pembukaan kawasan baru seperti Paya Kelubi dan Taman Rebana.  Tidak kurang 30 orang anak-anak kampong yang telah berjaya di bidang masing-masing

Sambungan oleh Admin Blog
Meninjau perkembangan Kampung Air Molek, terdapat perubahan nyata dari segi insfrastukstur dan tahap pemikiran. Jika meninjau 20 tahun lalu, Air Molek hanya dipenuhi dengan rumah-rumah tradisional Melayu yang kecil dan daif, namun atas usaha gigih dan bantuan dari anak-anak, kini Air Molek telah dipenuhi dengan rumah-rumah batu dengan rekabentuk yang menarik dan lebih selesa. Perubahan ini jelas menunjukkan tahap perubahan ekonomi masyarakat telah bertambah lebih baik berbanding dahulu. Dan jika meninjau tahap pemikiran, kita dapat melihat Air Molek masih mengekalkan tradisi muafakat. Masih wujud pelbagai sistem yang menarik seperti majlis menyiang daging, malam PAKAT dan banyak lagi yang kebanyakannya telah pupus di kebanyakan kampung-kampung di Melaka atau di Malaysia.
Aktiviti desa seperti ini sebenarnya mengeratkan lagi silaturahin antara penduduk dan seharusnya menjadi fenomena yang harus diteruskan dalam usaha mengekalkan tradisi bergotong royong dan bekerjasama di kalangan anggota sekampung. Kini, satu lagi pembaharuan telah mula kelihatan dengan munculnya kumpulan KENDARAT yang bertugas menguruskan majlis perkahwinan dari aspek penyediaan hidangan, mengemaskan meja dan sebagainya.
Uniknya Air Molek ini, kenduri kahwin biasanya akan berlangsung selama dua hari. Dimulakan dengan " Petang Meletak Kerja", biasanya hari Sabtu, diikuti dengan "berinai Besar" yang diserikan dengan persandingan pengantin, pertunjukan bunga api  dan akan diakhiri dengan majlais "hHari Langsung" iaitu kenduri sebenarnya. Di Air Molek Kuala Sungai Baru, tetamu dihidangkan dengan hidangan yang masih panas kerana penyediaan masakan untuk hari langsung akan bermula pada jam 5.00 pagi dan segalanya telah tersedia menjelang jam 10 atau 11 pagi. Masih dapat diingat lagi beberapa individu yang kerap menjadi "orang pangkal" seperti aruah pakcik Gamad atau Rahmat yang juga penggali kubur berpengalaman dan Tuk Seman, yang masih  aktif menjadi orang pangkal.
Pendidikan
Kesedaran tentang kepentingan pendidikan telah melonjakkan Air Molek dari status kampung tradisional kepada kampung yang berdaya maju. Lebih dari 30 orang anak kampung yang menjadi guru, pensyarah mahupun memegang jawatan penting dalam dunia pendidikan. Selain itu, antara anak kampung turut memegajang jawatan-jawatan penting seperti Pendaftar di Istana Keadilan Putrajaya, Lt Kolonel TUDM, pensyarah, pemilik syarikat dan banyak lagi. Semuanya akan disentuh dalam Sejarah Air Molek Siri 2.
Biarpun bilangan pelajar tidak begitu ramai, namun begitu SK Air Jernih turut melahirkan pelajar-pelajar bertaraf nasional. Ada di antaranya yang berjaya ke MCKK seperti Tn Hj Ramli Khamis dan diikuti pula dengan generasi baru. Selain MCKK, ramai anak kampung bertaburan di Kolej Tunku Khursiah, MRSM untuk menimba ilmu. Satu perkembangan yang amat mengujakan.
Suatu masa dahulu, SK Air Jenih turut terkenal dengan pasukan Hoki yang disegani bukan sekadar di Daerah Alor Gajah tetapi juga di Negeri Melaka. Perkembangan terbaru adalah pembinaan bangunan baru untuk sekolah Kebangsaan Air Jernih bagi menggantikan bangunan lama yang telah usang. Bangunan setinggi 3 tingkat ini akhirnya merealisasikan impian warga SK Air Jernih untuk melihat anak=anak beajar dalam keadaan selesa dan lebih kondusif.
AIR MOLEK DAN PERKEMBANGAN MASA HADAPAN
Tidak dinafikan bahawa kampung kecil ini mampu berkembang dan bersaing dengan kampung-kampung sekitar sekiranya tindakan yang lebih agresif dan tersusun dilakukan. Tumpuan utama adalah pembangunan modal insan dan pembinaan ekonomi masyarakat kampung. Tidak hairan jika suatu hari nanti Air Molek bakal menjadi satu hub pembangunan ekonomi desa yang bakal menjadi contoh kepada kampung-kampung lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan